Vape: Rokok pun haram tapi boleh dijual beli

Vape: Rokok pun haram tapi boleh dijual beli

1 of 1
Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJFK) telah pun membuat keputusan bahawa rokok elektronik atau vape adalah haram di sisi agama Islam.
Maka secara tidak langsung, apabila hukumnya haram, semua umat Islam tidak bolehlah lagi membeli, menjual atau menghisap vape.
Ada yang boleh terima, ada yang masih lagi tertanya-tanya keputusan yang dibuat oleh MJFK pada satu muzakarah khas di Sepang malam tadi.
Keputusan dibuat setelah mengambil kira kajian dari sudut syariah, perubatan dan saintifik termasuklah unsur pembaziran dan budaya tidak sihat selain membawa kemudaratan.
Persoalannya, kenapa vape diharamkan sedangkan rokok yang jelas membahayakan kesihatan masih lagi bebas dijual di pasaran terbuka.
"MJFK dah lama mengharamkan rokok. Kita sudah keluarkan fatwa tetapi jika ia masih dijual dan dibeli oleh umat Islam tanpa halangan, itu bukan bidang kuasa kami,".
Itu jawapan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Datuk Abdul Shukor Husin ketika ditanya wartawan MalaysiaGazette.
Memanglah benar apa yang dilafazkan oleh Abdul Shukor tetapi pada masa sama, ramai yang tertanya-tanya kenapa kerajaan bersungguh-sungguh hendak mengharamkan vape sehingga melarang sama sekali ia dijual kepada orang ramai.
Kenapa kerajaan tidak mempedulikan penjualan rokok yang memang telah difatwakan haram sebagaimana vape?
Apa keistimewaan rokok sehingga tidak pernah ada kesungguhan penguatkuasaan daripada kerajaan untuk menghalang penjualannya kepada umat Islam?
Sebagaimana vape, bahaya rokok telah lama diketahui umum malah kerajaan turut meletakkan gambar pelbagai penyakit pada kotak-kotak rokok kesan daripada tabiat merokok.
Namun, hukum haram yang diputuskan MJFK nampak agak istimewa diberi kepada rokok kerana sehingga hari ini, tidak ada sebarang penguatkuasaan dikenakan kepada penjual dan pembeli rokok sedangkan kesan penyakitnya jauh lebih teruk daripada vape.
Kalau ada pun hanyalah notis yang memaparkan kawasan-kawasan larangan merokok di tempat-tempat tertentu tetapi penjualannya masih dihalalkan!
Apa sebenarnya yang terjadi?
Jika orang Islam yang membeli arak dan nombor ekor bakal berhadapan dengan hukuman, kenapa pembeli dan penjual rokok beragama Islam dibiarkan tanpa sebarang tindakan?
Haram tetap haram dan penguatkuasaan terhadap benda-benda haram sepatutnya diseragamkan.
Janganlah hanya vape dijadikan korban sedangkan rokok yang dah lama disahkan haram tidak langsung diganggu gugat oleh kerajaan.
MJFK sudah memaklumkan kuasa melarang tidak ada pada mereka.
Kuasa hanya ada pada kerajaan pemerintah.
Malangnya kerajaan yang ada tidak melaksanakannya malah bersikap tidak adil kepada peniaga dan penggemar vape secara terang-terangan.
Bak kata seorang teman penghisap vape, kalau nak tangkap, biarlah adil sebab rokok sejak dulu lagi dah dicetak pada kotak sebagai membahayakan kesihatan tetapi tidak diharamkan penjualannya.
Katanya, MJFK sebagai badan agama Islam sepatutnya mendesak kerajaan agar melarang apa juga produk yang membahayakan kesihatan yang disifatkan sebagai haram dan mengenakan hukuman sama dengan hukuman ke atas pembeli arak dan nombor ekor.
Jika tidak, penjual dan penghisap vape akan selamanya menyifatkan kerajaan sebagai tidak adil kerana menghalalkan rokok yang diharamkan MJFK. 
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment