Saya dianiaya kakitangan JAIJ,namun.. - Stacy
Penyanyi Stacy melahirkan rasa kecewa apabila sesi dia mengucap syahadah dirakam tanpa kebenarannya dan disebarkan di media sosial.
Stacy, 25, berkata, dia berasa dianiaya kerana kakitangan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) yang mengendalikan sesi itu telah berjanji untuk mengadakannya secara tutup dan rahsia.
Malah wanita berbangsa Kadazan Dusun itu menyifatkan individu yang merakam gambar dan video itu sebagai pecah amanah.
"Selepas saya memeluk Islam semalam pukul 10 pagi, saya rasa bahagia dan gembira sangat.
"Walaupun sebelum masuk ke pejabat JAIJ itu, saya terpaksa menyorok identiti kerana saya tidak mahu sesiapa tahu dan proses sesi memeluk Islam itu terganggu.
"Namun saya sedih bila gambar dan video saya yang dirakam tanpa pengetahuan telah bocor dan disebarkan di Internet.
"Saya rasa tertekan sangat dengan apa yang berlaku dan tertanya apakah yang saya buat ini adalah salah," katanya.
Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu berkata demikian pada sidang akhbar di Astro di sini hari ini.
Stacy mengulas gambar dan video ketika melafazkan syahadah yang berlangsung di pejabat JAIJ di Johor Bahru semalam.
Namun Stacy yang kini menggunakan nama Islam, Ummu Shaikhah Stacy Anam memaafkan individu tersebut sempena semangat sebagai orang baharu dalam Islam. - MalaysiaGazette
0 comments:
Post a Comment