Hati-hati rambut gugur, anda mungkin akan botak!


Jangan salahkan genetik atau keturunan jika anda tergolong di dalam kelompok yang berkepala botak. Walaupun ramai yang mengaitkan masalah ini akibat keturunan, faktor lain juga boleh menyumbang kepada permasalahan ini.

PUNCA
Terdapat kajian dari sekumpulan penyelidik Perancis yang diketuai oleh Dr Philippe Giraud, iaitu penyelidik Hospital European Georges Pompidon di Paris, bahawasanya lelaki yang mula botak diawal 20 tahun dikatakan berisiko atau petunjuk awal kanser prostat. Berbanding lelaki yang mula botak di usia 30 ke atas, masalah botak adalah dianggap biasa kerana faktor genetik, pemakanan dan stres kerana pekerjaan. Walaupun tidak mempunyai bukti yang sahih, tetapi ia boleh dianggap satu masalah yang besar kerana jika tidak dibendung, selama-lamanya anda tidak mempunyai rambut.

Selain faktor genetik, penggunaan bahan kimia di dalam produk seperti syampu dan pewarna rambut juga boleh menyumbang kepada keguguran rambut. Pemakanan yang tinggi MSG (monosodium glutamat), masalah kulit kuat berpeluh, berminyak dan banyak fikir turut menyumbang kepada keguguran rambut.

RAWATAN
Terpulang pada anda jika anda sanggup untuk berhabis wang ketika mengunjungi pusat pakar rawatan rambut. Setakat ini, Malaysia ada menyediakan rawatan menanam rambut (hair transplant) di mana teknik pembedahan kecil dilakukan. Doktor akan membedah sedikit kulit di bahagian belakang kepala untuk mengambil rambut dan kemudian dijahit semula. Rambut yang diambil tadi akan diproses sebelum ditanam di kulit yang tiada rambut.

Namun, jika anda mahukan rawatan yang lebih selesa dan tidak menyakitkan, anda perlu rajin menjaga kesihatan kulit kepala. Guna syampu yang bersesuaian dengan jenis rambut. Pengambilan makanan yang berkhasiat juga perlu diambil kira kerana sumber makanan membantu kulit kepala mendapat protein. Kaedah mengurut kulit kepala dan mengelakkan stres juga boleh membantu anda dari terus keguguran rambut.

PETUA
Tidak ada salahnya jika anda mahu mengikuti petua orang dulu-dulu untuk menyubur dan melebatkan rambut. Air bawang merah, bawang putih atau halia boleh disapu ke kawasan kulit kepala dan dibiarkan semalam untuk menyuburkan rambut. Daun bunga raya yang ditumbuk hancur pula boleh melebat dan menghitamkan rambut secara semula jadi. Daun inai juga dikatakan boleh menguatkan akar rambut di samping melebatkan rambut yang nipis.

Biar apa pun punca dan kaedah rawatan yang anda ikuti, semuanya terpulang kepada tahap kerajinan anda. Jika anda bersungguh-sungguh mengikuti rawatan dan petua yang diberikan, ia mungkin membawa berita baik. Percaya atau tidak, lelaki berkepala botak kini bukan lagi insan tersisih sebaliknya semakin laris 'di pasaran'!

Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment