SEREMBAN - “Sampai sekarang saya teringat peristiwa tu. Kejam...cukup kejam,” demikian luah S Andrew, 45, tatkala mengimbau kembali adegan penderaan yang berlaku depan matanya sekitar jam 11.15 malam di Taman Sri Pulai, Sikamat, di sini, pada 30 Disember tahun lalu.

Katanya, hati mana tidak luluh apabila melihat si kecil baru berusia tiga tahun yang pastinya belum mengerti apa-apa tentang kehidupan, dipukul semahu-mahunya oleh bapa sendiri sehingga darah merah pekat mengalir membasahi diri.


"Pada malam kejadian, saya baru balik dari kedai makan. Masa tu, saya ternampak sebuah teksi diletakkan agak tersorok daripada pandangan orang ramai dalam keadaan cukup mencurigakan.

"Walaupun dah perasan kelibat teksi tu sejak tiga bulan lepas, tapi kali ini lain sikit perasaannya. Saya nampak kereta tu bergoyang-goyang macam berlaku sesuatu yang dahsyat,” katanya.

Disebabkan perasaan ingin tahu, Andrew kemudian mengambil keputusan untuk mendekati teksi jenis Proton Iswara berkenaan dari arah belakang.

“Saya parkir lebih kurang 10 meter dari teksi tu. Kemudian, saya menyelinap ke bahagian tepi dan intip ke dalam kereta.

“Berderau darah saya bila tengok seorang lelaki di kerusi pemandu sedang memukul belakang anaknya bertalu-talu guna tali pinggang. Bila budak tu hampir rebah, lelaki tu terajang pula mukanya,” katanya.

Barangkali sudah puas menyeksa kanak-kanak malang itu, katanya, si bapa kemudiannya merebahkan kerusi dan terus tidur.

“Saya tergamam, tak terkata apa melihatkan kezaliman yang berlaku depan mata. Hanya satu benda terlintas dalam fikiran saya, kena cepat hubungi polis.

“Tak lama kemudian, tiba seorang polis peronda wanita menunggang motosikal. Tanpa berlengah, saya ceritakan apa yang berlaku kepadanya,” katanya.

Menurut Andrew, anggota terbabit segera mengejutkan si bapa lantas memperkenalkan diri, sebelum memintanya menunjukkan kad pengenalan.

“Masa lelaki tu nak serahkan Mykad pada polis, saya cepat-cepat cabut kunci kereta. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga sebab saya nampak dia macam cuba nak larikan diri.

“Lelaki tu bengang dengan kehadiran polis. Dia siap marah lagi pada kami dan cakap ‘saya punya tangan, saya punya sukalah nak pukul!’,” katanya.

Kata Andrew, dia mengesyaki lelaki terbabit berada di bawah pengaruh gam berdasarkan cara lelaki itu berkomunikasi, termasuk penemuan beberapa tin gam dalam kenderaan terbabit.

“Saya difahamkan, anak-beranak tu berasal dari Rembau. Teksi tu tempat mereka berdua menumpang teduh sekarang. Dipercayai, si bapa selalu pukul anaknya untuk melepaskan geram selepas ditinggalkan isteri.

“Sebenarnya lebih kurang dua bulan lepas, saya pernah tanya si bapa mengenai kecederaan pada bahagian atas kening kiri anaknya. Tapi dia cuma jawab, anaknya terjatuh. Sekarang, misteri dah terungkai,” katanya.

Berdasarkan perkongsian maklumat daripada Andrew, difahamkan hampir dua minggu kanak-kanak itu tidak makan dan tidak bertukar lampin.

“Memang kasihan... tak tergambar penderitaan budak tu. Kalau tak silap saya, lebih kurang dua minggu dia dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar dan sekarang di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya mengakhiri bicara.

Atas keprihatinan ditonjolkan, pihak polis menganugerahkan sijil penghargaan kepada Andrew ketika perhimpunan pagi yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.  

Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, si bapa berusia 32 tahun telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment