Afgan tawan Malaysia
BUKAN hanya popular di negara asalnya, pengaruh penyanyi berasal daripada Jakarta, Indonesia ini semakin utuh di negara ini.
Mana tidaknya, setiap kali tampil membuat persembahan di sini, sambutan peminat tidak pernah mengecewakan.
Alasan itu juga membuatkan penyanyi berusia 27 tahun ini tidak berfikir panjang malah bersemangat untuk menerima tawaran nyanyian di sini.
Terbaharu, selepas konsert solo Suara Hati Afgan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) September tahun lalu, kini Afgan kembali dengan Konsert 5 Divo yang akan berlangsung 13 Februari nanti.
Apa yang istimewanya, konsert yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam ini nanti juga bakal dibarisi empat penyanyi hebat lain seperti Hafiz Suip, Hazama, Judika dan Taufiq Batisah.
“Walaupun sering ke Malaysia, nyata sambutan diberikan peminat sangat luar biasa.
“Mereka sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya saya di sini dan tidak ada sebab untuk saya membataskan kehadiran saya di sini.
“Saya sendiri rasa senang dan selesa dapat menghiburkan peminat saya di sini,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert 5 Divo, baru- baru ini.
Sementara itu, Afgan akui berbangga kerana turut terpilih dan diangkat sebagai ‘divo’ dalam menjayakan konsert tersebut.
“Sudah pasti saya berbangga kerana terpilih dalam acara prestij seperti ini yang juga melibatkan lokasi besar. Saya sendiri saya tidak fikir panjang apabila ditawarkan untuk beraksi di konsert ini.
“Tambahan pula ini peluang untuk bekerjasama dengan pemuzik daripada luar Indonesia yang mana bagi saya ia satu kesempatan yang tidak harus dilepaskan,” ujarnya.
Pada konsert itu nanti, Afgan menjanjikan kelainan dalam nyanyiannya.
“Buat masa ini kami hanya berbincang mengenai lagu-lagu yang akan dibawakan dan jadual untuk mula berlatih masih belum diberikan.
“Pada konsert itu nanti, saya akan bergandingan dengan Taufiq Batisah dan kami berdua bersetuju untuk bawakan salah sebuah lagu Micheal Jackson kerana kami sangat meminatinya.
“Selain itu, saya juga akan berduet bersama Hafiz Suip dan beberapa persembahan menarik untuk ditonton,” jelasnya.
Impian jadi kenyataan
Sementara sibuk dengan persembahan nyanyian, penyanyi berlesung pipit ini memberitahu bakal melahirkan buah tangan terbaharunya pada April ini.
“Saya sekarang sibuk merakamkan album keempat dan saya sangat teruja kerana inilah album yang saya impikan sejak awal penglibatan dalam dunia nyanyian.
“Sebanyak lapan lagu hasil ciptaan saya sendiri akan dimuatkan dalam album ini dan konsep yang diterapkan adalah melambangkan diri saya sendiri.
“Lebih berharga buat saya, penghasilan album ini bukan sahaja melibatkan kerjasama pemuzik Indonesia malah dari luar juga. Jadi ia seperti impian jadi kenyataan,” katanya yang juga bakal mengadakan konsert solo di Singapura, 26 Mac ini.
Pada masa sama, Afgan turut berkongsi projek khasnya bersama ratu Jazz Malaysia, Datuk Shiela Majid.
“Baru-baru ini Datuk Shiela menyuarakan minatnya untuk berduet bersama saya.
“Jadi, saya sudah siapkan sebuah lagu khas untuk kami dan secara jujurnya saya agak gementar kerana dia adalah idola saya.
“Alhamdulillah, dia suka lagu itu dan kami tunggu masa yang sesuai untuk teruskan projek khas itu,” katanya ringkas.
0 comments:
Post a Comment