Mat Moto inspirasi kisah benar menjanjikan kepuasan buat penonton!!
BILA bercakap mengenai mereka yang gemarkan motor, secara tidak langsung, gelaran mat rempit akan diberikan, lebih-lebih lagi jika mereka bergerak dalam satu kumpulan.
Ingin mengubah stigma masyarakat mengenai kumpulan mat moto, Pekin Ibrahim terpanggil mendekati sekumpulan mat moto yang secara tidak langsung memberi idea kepadanya menghasilkan semua filem mengenai mat moto.
Tidak mahu tampil stereotaip untuk membawa penonton kepada kisah perlumbaan jalan, pergaduhan, gangsterisme yang sering menjadi imej kepada golongan mat rempit, Pekin dalam satu temu bualnya bersama Zass sebelum ini menjelaskan filem pertamanya itu yang diambil daripada cerita sebenar seorang mat moto bernama Al.
Filem yang ditayangkan sejak 14 Januari lalu membawa penonton mengikuti kisah Al, pemilik syarikat suntingan filem menjelajah empat negeri bagi menunaikan hajat sahabatnya, Spark yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Al mencari empat topi keledar yang menjadi buruan penggemar motosikal. Turut serta dalam misi itu adalah pelajar praktikal, Sikha.
Dua insan itu jatuh cinta, namun Sikha menyembunyikan rahsia yang boleh menggugat hubungan mereka.
Tidak hanya terlibat sebagai pengarah, Pekin juga turut memainkan peranan sebagai watak utama iaitu Al.
Selain itu, filem Mat Moto turut dijayakan ramai pelakon handalan yang pernah menjayakan watak sebagai mat moto dan mat rempit seperti Faizal Hussein (Gila-Gila Remaja), Datuk Rosyam Nor (KL Menjerit), Shaheizy Sam dan Syamsul Yusof (Bohsia : Jangan Pilih Jalan Hitam), Zulhuzaimy serta Cat Farish (Remp-it).
Ia turut dijayakan pelakon baharu Falisha Crosley bersama pelakon lama, Kamarool Yusof.
Secara keseluruhan, filem ini sebenarnya memberi fokus kepada misi dan perjalanan Al dalam mendapatkan empat biji topi keledar seperti yang diidamkan oleh kawan baiknya itu.
Sejujurnya pada pandangan penulis, ia adalah sebuah pengembaraan biasa, dan ada ketikanya penulis seolah-olah menonton babak dalam filem Bikers Kental.
Cuma Mat Moto menyaksikan pengembaraan Al ke empat negeri berbeza.
Mengenangkan ia adalah filem pertama arahan Pekin, ada beberapa perkara yang perlu dan boleh dimaafkan dalam filem ini.
Sememangnya sukar mencari kesempurnaan, namun penulis berpendapat, filem ini mungkin ada tarikan dan erti tersendiri buat golongan mat moto.
Tarikan pelakon undangan
Penulis berpendapat, pelakon undangan yang muncul pada babak melibatkan lokasi di Dataran Merdeka sebagai tarikan utama untuk menonton filem yang mencecah kos RM1.5 juta ini.
Walaupun kemunculan mereka tidak lama, namun rata-rata meninggalkan kesan tersendiri kepada penonton. Ia secara tidak langsung dilihat sebagai babak kemuncak yang sememangnya amat dinanti-nantikan.
Tidak hanya memaparkan pengembaraan dan dunia permotoran semata-mata, Pekin juga tidak lupa untuk menyelitkan mesej serta erti persahabatan di dalam filem ini.
Mat Moto memperlihatkan bagaimana seorang sahabat sanggup berbuat apa sahaja untuk memenuhi hajat sahabat yang telah tiada. Justeru, berjayakah Al menamatkan pengembaraan mencari topi keledar itu? Apakah rahsia yang disimpan Sikha?
Semuanya dapat disaksikan dalam filem Mat Moto yang menjanjikan kepuasan buat penonton khususnya pencinta motosikal.
Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit
PENGARAH: Pekin Ibrahim & Syafiq Yusof
0 comments:
Post a Comment